KLIK MASSA

KLIK MASSA PANASFM | Created By PANASFM crew

  • RSS
  • Delicious
  • Facebook
  • Twitter

MemBARA-BARA

Selamat Datang!

wwww


RADIO PANASFM

Thumbnail Recent Post

Intense Debate Comments

Klik Massa Dulu Kini Dan Selamanya

  • pemandangan 1
  • pemandangan 2
  • pemandangan 3

SUKE PANASFM?

Blog ini semata-mata copy paste Dari mana-mana akhbar online atau tidak ,termasuk,blog,web portal.dan lain -lain tujuan untuk rujukkan masa akan datang

This blog simply copy and paste from any newspaper online or not, including, blogs, web portal.dan other purposes for the future reference

u r MY ButterFly

My butterfly, You know how I make you fly, Everytime you pass me by, Never fail to make me smile...

B'coz OF u

If u are Alone,i'll Be Ur Shadow... If u want 2 cry,i'll Be ur shoulder.. If u Need 2 Be Happy,i'll Be ur smile.. But anytime u Need a frewn..i'll Just Be Me..

Do Not Leave Me.

I can not forget the tone of your voice I reached needed love...

I'm Not perfect

Terimalah aku Seperti apa adanya Aku hanya insan biasa Ku pun tak sempurna...

BestFrewn 4ever

Yeah We're Tight and Yeah We Fight But Through All Of It,There's one thing that will Never Change We'll Be FrienDs Forever...

Showing posts with label Harakahdaily December 2011. Show all posts
Showing posts with label Harakahdaily December 2011. Show all posts

Rakyat Selangor selesa, tiada sebab tukar kerajaan


| Print |
Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 30 Dis: Kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengatakan rakyat Selangor menyesal kerana menolak BN di dalam pilihanraya yang lalu merupakan kenyataan yang tidak berasas sama sekali.
AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, ia bertentangan dengan kegembiraan oleh rakyat Selangor menikmati berbagai kemudahan.
“Kenapa pula rakyat Selangor hendak menyesal kerana menolak BN?” ujarnya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, rakyat Selangor tidak pernah bermimpi memperolehi air percuma, skim kifalah RM2,500, guru Kafa mendapat elaun RM1,500, Tabung Wawasan Anak Selangor (Tawas) RM100, skim mikro kredit miskin bandar sebanyak RM5,000 bagi mereka yang berpendapatan RM1,500 sebulan dan berjaya melunaskan hutang negeri RM173 juta daripada RM800 juta.
Beliau berkata, sebenarnya yang paling menyesal apabila rakyat Selangor menolak BN di Selangor ialah pemimpin Umno.
Ini, katanya kerana impian mereka hendak membolot khazanah di Selangor tidak kesampaian.
“Hajat untuk membina rumah mewah yang berhaga berpuluh juta terpendam, hajat mereka untuk menutup kelas pengajian di masjid dan surau tidak berjaya,” ujarnya lagi
Tambahnya, perkara yang paling menyakitkan hati pemimpin BN ialah  ‘khurafat’ yang mengatakan selain daripada Umno memerintah maka sebuah negeri tidak maju telah tertolak dengan kejayaan PR menunjukkan prestasi cemerlang walaupun dalam masa yang singkat.
“Rakyat Selangor tidaklah sebodoh itu untuk menukar kerajaan Pakatan Rakyat yang sudah memberi keselesaan, kepada BN yang kembali menindas rakyat demi kepentingan perut kroni dan anak pinak jika mereka berkuasa,” ujarnya.
 

Hassan datang minta maaf, Nik Aziz buat kenduri kesyukuran


| Print |
                                       Salmah Mat Husain              


BACHOK, 28 Dis: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Datuk Dr Hassan Mohd Ali telah bertemu dengan pimpinan tertinggi PAS semalam dan menarik balik segala kenyataannya terhadap PAS sebelum ini.

Beliau juga berkata, Hassan Ali juga telah meminta maaf dari pimpinan PAS mengenainya.

"Saya melahirkan rasa syukur di atas rasa rendah diri Datuk Hassan Ali yang bersedia memohon maaf serta menarik balik kenyataan negatifnya terhadap parti sebelum ini.

"Bukan mudah bagi orang yang melakukan kesalahan serta mengakuinya dan memohon maaf, jadi tindakan beliau itu begitu mengharukan saya.

"Saya juga berharap, orang lain yang mempunyai masalah seperti ini berlapang dada seperti Datuk Dr Hassan," kata Nik Aziz kepada wartawan di sini.

Nik Aziz bercakap kepada pemberita ketika melawat kesan hakisan ombak di Pantai Irama, Bachok hari ini.


Kenduri kesyukuran

"Saya sendiri akan membuat kenduri makan tengahari kecil-kecilan di JKR 10 hari ini tanda kesyukuran penyelesaian kes ini.

"Saya berharap PAS Pusat boleh menganjurkan kenduri besar-besaran untuk meraikannya dan ahli-ahli PAS boleh memberi sumbangan untuk menjayakan kenduri kesyukuran ini," cadang beliau.

Nik Aziz yakin, hal ini tidak lagi boleh dijadikan isu oleh Umno kerana ruangnya sudah ditutup rapat.

20 pelajar miskin dapat pakaian sekolah

20 pelajar miskin dapat pakaian sekolah | Print |
Safarizal Saleh   
IPOH, 27 Dis: Pemuda PAS Perak meraikan 20 kanak-kanak miskin dalam usaha mereka meringankan bebanan ibu bapa mereka menjelang musim persekolah baru Januari nanti.
(Gambar kenangan selepas membeli pakaian sekolah)

Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Pemuda PAS Negeri Perak telah memulakan program bersempena pembukaan sekolah tidak lama lagi dengan meraikan pelajar miskin berkenaan membeli peralatan sekolah.

Pengerusinya, Isran Fahmi Ismail yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Sungai Siput (Utara) telah memilih 20 orang pelajar miskin untuk kali ini.

Turut hadir bersama adalah kepimpinan Pemuda PAS Sungai Siput.

Program yang berbentuk pembelian terus ke kedai ini bersama dengan pelajar yang dipilih untuk membeli peralatan sekolah seperti uniform sekolah dan kasut sekolah.

Program seumpama ini akan diteruskan oleh Lajnah Kebajikan Pemuda PAS Perak di tempat-tempat lain pula selepas ini.
 

Kedah setuju hapus hutang pinjaman

Kedah setuju hapus hutang pinjaman | Print |
Harakahdaily   
ALOR SETAR, 27 Dis: Kerajaan Negeri Kedah yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak (gambar) bersetuju melupuskan hutang pinjaman pelajaran kerajaan negeri yang berkaitan dengan kes-kes tertentu.

Ustaz Azizan berkata, kerajaan negeri telah bersetuju untuk melupuskan hutang tersebut khususnya yang gagal membayar balik pinjaman akibat kematian, penyakit kronik, gila dan yang tidak mempunyai daya lagi untuk membayarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di majlis penyerahan sumbangan kepada SKJ(C) Keat Hwa dan Sin Min di Wisma Darul Aman.

“Ianya bererti kita tidak akan meminta lagi wang kepada penjamin pelajar tersebut untuk membayar hutang itu. Ianya  adalah  atas dasar kemanusiaan kepada mereka yang tidak mampu membayar,” katanya dipetik Warta Darul Aman.

Tindakan prihatin itu sekaligus meringankan beban peminjam dan penjamin yang selama ini terpaksa menanggung beban menjelaskan hutang tersebut.

Tolak BN, selamatkan wang rakyat

Tolak BN, selamatkan wang rakyat
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 26 Dis: Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan menyeru seluruh rakyat negara ini bersatu menolak Umno BN demi menyelamatkan wang rakyat dan harta negara dari penyelewengan.

Setiausahanya Ustaz Azhar Yahya berkata, rasuah dan penyelewengan harta negara hanya boleh dibendung dengan menjatuhkan Umno BN dalam pilihanraya yang akan datang.

“Rakyat Malaysia perlu bersatu untuk menumbangkan Umno BN dalam pilihanraya yang akan datang demi memastikan duit dan harta rakyat Malaysia selamat.

"Bayangkan sekiranya duit yang berbilion yang tiris dan bocor kerana rasuah itu digunakan untuk kegunaan manfaat rakyat, maka InsyAllah negara Malaysia lebih maju lagi,” tegas beliau.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Transparency International Malaysia (TI-M) bahawa kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) jatuh dari tangga 56 pada tahun lalu kepada 60 tahun ini.

Ianya juga merupakan kejatuhan kali ketiga berturut-turut sejak 2009.

Bagi Azhar, ianya sesuatu yang memalukan lebih-lebih lagi Malaysia sebagai salah sebuah negara yang menganggotai OIC.

Kerajaan BN yang sedia ada ini pula ujarnya tidak mampu lagi menangani gejala yang semakin membarah itu walaupun cuba menggunakan pelbagai slogan menggambarkan penentangan mereka terhadap rasuah.

“Satu-satunya cara untuk memerangi gejala rasuah ialah dengan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dan bukannya menggunakan hanya apabila tersempit sahaja," katanya.

Umno Besut kibar bendera negeri separuh tiang?

Khairul Azlam Mohamad   
BESUT, 26 Dis: PAS Besut melahirkan rasa dukacita dengan tindakan Umno bahagian yang mengibarkan bendera negeri separuh tiang sejak lebih seminggu lalu.
Yang Dipertua PAS Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad berkata, tindakan mengibarkan bendera negeri Terengganu separuh tiang di pejabat Umno bahagian Besut itu tidak wajar.
Ini kerana, katanya di saat seluruh rakyat jelata gembira dengan keberangkatan pulang Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin kembali memerintah negeri tindakan tersebut amat dikesali.
“Ini tidak harus berlaku di saat seluruh rakyat negeri ini bergembira dengan kepulangan Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk kembali memerintah Terengganu, setelah menamatkan tempoh pemerintahan baginda selama sepenggal sebagai Yang di-Pertuan Agong ke 13,” katanya.
Menurutnya, Umno BN bersikap hiporkrit apabila melenting marah ketika seorang mahasiswa yang berdemonstrasi bertindak menurunkan gambar Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi membisu berhubung bendera Terengganu dinaikkan separuh tiang itu.
“Saya tidak fikir Ketua Umno Bahagian Besut tidak nampak bendera Terengganu berkibar di separuh tiang di hadapan pejabatnya di tengah-tengah bandar Jerteh dalam tempoh waktu yang agak lama.
“Saya juga tidak terfikir bekas Menteri Besar Terengganu (Idris Jusoh) itu tidak dimaklumkan tentang kepulangan Tuanku Sultan Mizan yang telah kembali memerintah Terengganu,” ujarnya.
Katanya, PAS Besut menasihati kepimpinan Umno bahagian agar segera mengembalikan semula bendera negeri Terengganu pada kedudukan asal dengan baik.

Laporan polis, SPRM terhadap Awang Adek



Salmah Mat Husain   
KOTA BHARU, 26 Dis: Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan hari ini membuat laporan polis berhubung Ketua Umno Bahagian Bachok, Datuk Dr Awang Adek menerima sejumlah wang dari pihak tertentu menerusi tiga keping cek.
Dakwaan itu dibuat berikutan sebuah lama blog yang dikenali thewhistleblower 711 di alamat http://thewhistlower711.blogspot.com.
Artikel berkenaan memuatkan Awang Adek dikatakan telah menerima sejumlah wang ke dalam akaun peribadi beliau yang merupakan sumbangan seseorang.

Pejabat MB Kelantan nafi kaitan sepanduk haram

Pejabat MB Kelantan nafi kaitan sepanduk haram | Print |
Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 26 Dis: Pejabat Menteri Besar Kelantan menafikan kaitan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan sepanduk haram di sekitar negeri itu yang menggunakan gambar menteri besar itu.

Sambil melahirkan rasa kesal, mereka dalam satu kenyataan hari ini mendakwa, tindakan pihak tertentu yang menggunakan gambar Tuan Guru itu merupakan cubaan mencemarkan imej dan nama baik beliau.

"Kami ingin memaklumkan bahawa YAB Tuan Guru Menteri Besar tidak mempunyai sebarang kaitan dengan sepanduk ini.

"Pihak kami menganggap sepanduk ini merupakan satu usaha mencemarkan nama baik YAB Tuan Guru Menteri Besar Kelantan," kenyataan itu dipetik.

Sepanduk yang bertulis "Rakyat Kelate Nok Royalti Minyok...Buke Nok Pitih RM500" dan "Puak-puak Kito Jange Gi Ambik Pitih RM500 tu, Itu Pitih Haram, Tok Tahu Mari Mano" dipercayai digantung pihak tertentu bagi menggambarkan penolakan PAS terhadap pemberian wang RM500 oleh pusat melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Sedangkan pendirian Tuan Guru Nik Aziz selama ini sangat jelas bahawa wang tersebut adalah wang rakyat malah rakyat diseru mengambilnya.

Pendirian Tuan Guru juga boleh dilihat melalui kata-katanya yang popular setiap kali pilihan raya iaitu "Bagi pitih ambik, bagi kain pakai, bagi gula kacau, tapi bila undi, pangkah bulan".

Justeru, pihak Pejabat Menteri Besar mahu pihak yang bertanggungjawab menurunkan sepanduk tersebut dengan kadar segera.

Kenapa perlu 'salinan' surat nikah mohon MyKad anak?

Kenapa perlu 'salinan' surat nikah mohon MyKad anak?
Dr Juanda Jaya   
1. Saya amat berterimakasih kepada semua pihak terutama media yang mengutip dan melaporkan status berita pada dinding laman Facebook peribadi saya Jumaat 23 Disember 2011 berkaitan isu permohonan Mykad anak gadis saya. Saya terpaksa beralih kepada Facebook setelah saluran rasmi lain yang saya gunakan gagal membantu saya pada masa itu. Zaman informasi terkini menjanjikan tiada masalah boleh disimpan di bawah karpet lagi dan manusia boleh saling berkongsi masalah dan membantu memberikan jalan penyelesaian sesama mereka.

2. Isu utama sebenar yang belum terjawab hingga hari ini ialah; Kenapa pihak JPN perlukan salinan (salinan??? bukan original) surat nikah bagi mengesahkan kewarganegaraan seseorang individu rakyat Malaysia sewaktu memohon Mykad anaknya? Begitu juga dipinta lagi sewaktu memohon untuk membuat Passport Antarabangsa? Apakah tidak cukup dengan Surat Beranak asal pemohon dan MyKad asal Bapa pemohon bagi mengesahkan KEASLIAN KEWARGANEGARAAN pemohon, seperti yang dinyatakan di papan kenyataan JPN sendiri. Bukankah kalaulah pasangan itu telah bercerai, status anak itu dalam Surat Beranak tetap kekal seperti adanya, kecuali dia memohon sebaliknya? Atau rakyat Malaysia tidak diberitahu bahawa kedudukan bapa/ibu warganegara tidak menjamin mereka berhak menjadi warganegara Malaysia sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan dan diwarwarkan oleh pihak KDN sendiri. SOP sebeginilah yang wajar disemak semula, sebagaimana kenyataan awal YBhg KSU KDN.

3. Padahal sewaktu memohon mendapatkan Surat Beranak yang turut dikeluarkan oleh Jabatan yang sama (bukan Jabatan dan Kementerian lain) salinan dan original surat nikah turut dikemukakan. JPN turut menuntut salinan berkenaan setiap kali pendaftaran anak yang baru, sesuatu yang pada saya wajar dilakukan bagi tujuan pengesahan status anak yang lain, walaupun ia tiada beza dengan sistem Mubarak di Mesir sewaktu saya di sana lebih 20 tahun lampau.

4. Isu lain yang tidak dijelaskan dengan teliti ialah; Kenapa status anak gadis saya selama 12 tahun ini dalam sistem JPN adalah X Warganegara? Bukankah Surat Beranak dia sudah menyatakan status dia adalah warganegara Malaysia? Bukankah Passport Antarabangsa dia juga berwarganegara Malaysia? Juga setiap kali passport dia dibuat, pihak Imigresen (dalam satu Kementerian KDN) akan merujuk kepada pihak JPN status kewarganegaraan dia sebelum passport dikeluarkan. Kalaulah benar status dia sudah dikemaskini pada 12 Jun 2009 (seperti kenyataan rasmi KDN semalam) maka mengapa pada 23 Disember 2011, status itu masih menunjukkan dia bukan warganegara. Saya sendiri melihat data status itu pada skrin komputer JPN seperti yang ditunjukkan kepada saya oleh staf JPN dan didengar sendiri oleh anak gadis saya yang turut bersedih di meja pegawai berkenaan. Staf perhubungan pelanggan, staf di kaunter dan pegawai JPN ini amat membantu saya dan komunikasi mereka amat baik sehingga saya mendapat sedikit maklumat yang saya kemukakan ini, bukan seperti 'fitnah' sesetengah pihak yang menyatakan bahawa mereka tidak terlatih dan tidak cekap.

5. Dua isu sebenar yang saya kemukakan ini belum terjawab walaupun pihak KDN menyatakan bahawa MyKad itu sudah siap dan boleh diambil. Saya ke JPN semalam yang dikatakan tetap beroperasi pada hari Sabtu, namun pihak Rela yang mengawal Bangunan menyatakan Federal Ofis tidak beroperasi pada Sabtu ini. Notis di pintu masuk juga menjelaskan hal demikian.

6. Saya bukan bertujuan untuk mensensasikan isu peribadi sebegini, walaupun saya turut diberi 'ingatan' oleh pihak JPN agar tidak mensensasikan isu sebegini. Ini urusan peribadi saya sebagai rakyat, bukan atas kapasiti lain. Saya amat terluka apabila dinyatakan oleh sistem data komputer JPN yang saya percayai dan yakini menyimpan data keselamatan negara yang sudah pasti akurat, tepat dan amat dipercayai, menyatakan dengan jelas anak saya selama 12 tahun ini, dalam rekod JPN Malaysia adalah bukan warganegara Malaysia, negara yang amat saya cintai!

7. Saya sudah lalui semua kepahitan dan kesulitan birokrasi dan redtapes sebegini dengan pihak Agensi Persekutuan di Sarawak. Saya yakin semua rakyat marhaen di Sarawak turut merasai 'denyut nadi kesulitan' yang sama. Tanyalah kepada mereka yang ikut BARISAN di kaunter-kaunter berkenaan. Apakah mereka bergembira?

8. Kita berada pada zaman online, bukan zaman manual. Zaman paperless, bukan zaman suka suruh rakyat buat salinan fotostat. Zaman data setempat, bukannya zaman 'menitahkan' rakyat 'menghadap' pelbagai agensi untuk mengesahkan status mereka dan memaksa rakyat mengisi pelbagai 'songeh borang' yang perlu diupah pelbagai khidmat di keliling Bangunan Persekutuan Sarawak yang akan meningkatkan kos rakyat marhaen (terutama yang buta huruf) di Sarawak bila berurusan dengan Agensi Kerajaan Persekutuan.

9. Isu ini saya ketengahkan sebagai rakyat marhaen di Sarawak adalah dalam rangka membantu memperkukuhkan slogan YAB Perdana Menteri "RAKYAT DIDAHULUKAN" demi Malaysia yang akan terus makmur dan Sarawak Maju Dalam Malaysia.

10. Akhirnya saya ingin berterimakasih kepada YB Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang dikhabarkan segera turun tangan membantu saya, begitu juga respons serta merta beberapa rakan media, politikus, birokrat dan teknokrat yang lain. Terimakasih juga kepada YBhg KSU KDN yang turut segera memberikan respons positif dan jaminan isu ini diselesaikan serta merta -menurut kenyataan beliau melalui media-. Namun agak malang, beliau turut mendedahkan beberapa fakta privasi diri dan keluarga saya kepada media. Saya tidak pasti apakah beberapa bahagian privasi hidup seseorang individu yang berada dalam simpanan KDN boleh didedahkan kepada media dalam menangani isu sebegini. Sekian. Kuching, 25 Disember 2011.

Dr Juanda bin Jaya

Mufti Kerajaan Negeri Perlis, Malaysia
Adjunct Professor at University Malaysia Perlis (UNIMAP)
Visiting Professor at Management and Science University, Malaysia (MSU)
ex-Visiting Fellow at
Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS)
University of Oxford

Shahrizat dedah ramai pemimpin Umno bermasalah



Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 25 Dis: Kenyataan Datuk Seri Shahrizat Jalil yang mempersoal 'siapakah pemimpin Umno yang tiada masalah', seperti mendedahkan ramai pemimpin Umno terbabit dengan skandal salah guna kuasa.

Shahrizat selaku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang terpalit dengan skandal projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) mengeluarkan kenyataan itu sebagai mengulas tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) yang memulakan siasatan terhadap kes itu baru-baru ini.

Bagi Dewan Pemuda PAS Pusat, kenyataan spontan yang keluar dari mulut Shahrizat yang juga ketua wanita Umno itu seperti menyindir semua pemimpin Umno agar tidak berlagak bersih dari masalah.

"Skandal mereka belum terdedah dan masa yang akan menentukan keadaan diri mereka dalam Umno.

"Bagi DPP Malaysia, tidak ada apa yang memeranjatkan dalam kenyataan Shahrizat kerana rakyat sudah sinonim bahawa Umno dan rasuah serta penyelewengan sudah sebati," kata ketua penerangnnya, Riduan Mohd Nor (gambar) dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya lagi, kes Bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo yang didapati bersalah kerana rasuah di mahkamah Tinggi Shah Alam semalam boleh menjadi bukti dan kayu pengukur bahawa pemimpin Umno sukar untuk dijadikan contoh teladan buat rakyat Malaysia.

Malah ujarnya, selain Khir, ramai lagi pemimpin Umno yang pernah terkait dengan pelbagai skandal.

"Beberapa tahun lepas, beberapa orang pemimpin kanan Umno pernah dihadapkan ke Lembaga Disiplin Umno sehingga ke SPRM kerana dakwaan rasuah.

"Malah, bekas Naib Presiden Umno sendiri turut terbabit dengan rasuah sehingga terpaksa melepaskan jawatan beliau," katanya lagi.

Dengan isu skandal penyelewengan dalam NFC pula katanya, ramai percaya bukan setakat Shahrizat sahaja yang terlibat, malah ramai lagi pemimpin kanan negara juga boleh dikaitkan dengan kelulusan projek tersebut.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 juga tegasnya, sudah cukup menjadi bukti kepada rakyat betapa ketirisan dan penyelewengan berlaku dalam kerajaan pimpinan Umno BN.

"Dalam keadaan demikian, tidak hairanlah Indeks Persepsi Rasuah negara merudum buat tahun ketiga berturut-turut.

"Justeru, tidak ada apa lagi yang boleh diharapkan oleh rakyat dalam negara ini, melainkan perubahan mesti dibuat oleh rakyat dalam PRU ke 13," katanya.
 

Penduduk Matau berharap diberikan hak penempatan



BANDAR JENGKA, 6 Dis: Kira-kira 400 penduduk Matau di sini, semalam mengadakan perhimpunan aman kelmarin bagi membantah tindakan pihak berkuasa tempatan yang mengusir mereka keluar daripada kediaman yang telah mereka duduki sejak lebih 40 tahun lalu.

Arahan tersebut terkandung dalam notis yang dikeluarkan oleh Majlis Daerah Maran (MDM) bertarikh 18 November lalu dan penduduk Matau dikehendaki mengosongkan kediaman masing-masing dalam tempoh 14 hari sebelum proses perobohan dibuat.

Alasan yang diberikan oleh MDM ialah penduduk yang menetap di situ sejak belum lagi Bandar Jengka dibuka ialah mereka merupakan setinggan kerana tinggal di tanah haram.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Matau, Zakri Yusof, 44, ketika berucap memberitahu, Matau ialah penempatan awal di kawasan Felda terbesar itu dan mula diduduki pada tahun 1969 oleh pekerja-pekerja syarikat pembalakan dari Kanada di samping penghijrah-penghijrah dari luar Pahang yang membuka tanah di situ.

Katanya, ketika Bandar Pusat Jengka dibangunkan sekitar 1980-an di kawasan Jengka Tiga Segi merangkumi tiga daerah iaitu Maran, Temerloh dan Jerantut, penduduk Matau sudah pun bermastautin dan mengusahakan pelbagai aktiviti perniagaan.

“Bermula pada tahun 1986 penempatan di Matau telah diiktiraf oleh MDM dan penduduk telah dikenakan bayaran TOL. Bagaimana pun pada tahun 2000 ketika penduduk ingin menjelaskan bayaran seperti biasa, tiba-tiba tidak diterima oleh MDM tanpa sebarang penjelasan. Pada tahun 2003 pula MDM mengisytiharkan kawasan Matau sebagai milik MDM.

“Permasalahan penduduk Matau yang tidak mendapat geran tanah dan ketiadaan bekalan air paip telah lama diperjuangkan mereka dan mendapat perhatian pemimpin politik terutama dari Umno sehingga sering kali berjanji untuk menyelesaikan permasalahan penduduk setiap kali pilihan raya.

“Kini terdapat hampir 600 penduduk Matau dengan seratus peratus Melayu daripada 101 buah rumah termasuk 33 premis kedai di kawasan seluas 22 ekar ini,” jelasnya.

Zakri berkata, notis arahan kepada penduduk supaya mengosongkan premis dan tapak di kawasan tersebut dengan alasan MDM telah menandatangani perjanjian dengan pemaju Mentiga Corporation Bhd. untuk membina lot kedai tiga tingkat dengan harga menghampiri setengah juta ringgit setiap unit.

Tambahnya, apa yang dikesalkan ialah dalam notis yang ‘menghantui’ penduduk itu tidak menyebutkan ke mana tempat cadangan berpindah dan sebarang pampasan sehingga membuatkan penduduk kebingungan dan berada dalam dilema.
Jelasnya, penduduk Matau bukannya degil justeru boleh membuat pembangunan tersusun kerana menyedari kerajaan mahu membesarkan jalan dan mencantikkan kawasan dan penduduk boleh lakukan itu cuma pada masa ini kawasan Matau nampak tidak tersusun kerana masalah status tanah.

“Sebenarnya tempat lain luas lagi untuk dimajukan kenapa pilih tempat penduduk yang sudah duduk di sini sejak puluhan tahun. Di sini ada 33 buah kedai semuanya dan kami sanggup buat lot kedai sebelah depan jika sekarang ini cacatkan pemandangan.

“Kami pun  dah jenuh menderita. Bayangkan pihak berkuasa bagi premis niaga, ambil cukai pintu tapi kemudahan bekalan air paip tak salurkan. Sebenarnya dah lama hak kami dinafikan.

“Ada juga sesetengah pemimpin yang mainkan isu negeri-negeri, kononnya kebanyakan penduduk Matau dari negeri lain. Sebenarnya generasi pertama dah tak ramai yang meninggal dan sekarang ini kebanyakan yang ada merupakan generasi kedua dan ketiga. Semuanya lahir di sini.

“Lagi pun cuba tengok di Sungai Jerik, dalam daerah Maran ini juga... kenapa boleh buat kedai untuk penduduk yang meneroka tanah di sana yang berbangsa Cina. Lagikan bukan bangsa Melayu pun boleh bangunkan dengan tidak ketepikan peneroka asal. Begitu juga dengan Gambang dan Sri Jaya... kenapa boleh? Sebab itu saya rasa ini hanya untuk kepentingan pihak tertentu saja!”

Zakri berharap, penduduk akan diberikan hak ke atas tanah kediaman masing-masing itu dan diberikan bekalan air bersih.

Turut memberi sokongan dalam perhimpunan aman itu ialah Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Pemuda PAS Pahang Shahril Azman Abdul Halim, peguam penduduk Ahmad Nizam Hamid, Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asli PKR Pusat, Suhaimi Said dan lain-lain pemimpin tempata

The game is over, kata Mustafa Ali

Harakahdaily    KUALA TERENGGANU, 24 Dis: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali yakin, isu kekecohan yang berlaku dalam PAS sudah selesai.

"The game is over - permainan ini sudah selesai, bagi saya ia sudah selesai," kata Mustafa ketika memberikan ucapan dalam majlis makan malam di Markas PAS Kuala Terengganu, di sini malam tadi.

Mustafa mengulas kekecohan yang berlaku dalam PAS ekoran perang dalam media antara beberapa pemimpinnya.

Ia memuncak apabila Mustafa menyifatkan dua pemimpin Datuk Dr Hasan Ali dan Nasharudin Mat Isa terperangkap dalam agenda musuh PAS iaitu Umno.

Menurut Mustafa, ia selesai melalui kenyataan beberapa pimpinan dan mesyuarat lajnah politik baru-baru ini.

"Dalam mesyuarat, saya tanya kepada semua yang terlibat dan masing-masing kata, apa yang mereka cakap lain, yang disiarkan media lain.

"Jadi jawapan saya dalam sidang media yang lalu harapnya yang terakhirlah," kata Mustafa.

Bagaimanapun, katanya, Dr Hasan akan membuat kenyataan hari ini dan dia akan melihat kenyataan itu samada untuk memberi respons atau tidak.

"Kalau dia (Dr Hassan)  cabar suruh dedah, saya akan kajilah apa nak jawab," kata Mustafa.

Kes itu, katanya selesai dengan cara Presiden PAS memanggil tiga orang yang terlibat dalam kes ini termasuk Adun Hulu Klang yang juga Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungib. 

Solat Jumaat: Umno Terengganu dendang isu lapuk

Solat Jumaat: Umno Terengganu dendang isu lapuk | Print |
Khairul Azlam Mohamad   
BESUT, 24 Dis: PAS Terengganu menyifatkan Umno dan kerajan Barisan Nasional (BN) Terengganu ketandusan isu serta menggunakan isu lapuk bagi menutup kelemahan pentadbiran di negeri ini.
Ketua Dewan Ulamak PAS negeri, Datuk Husain Awang (gambar) berkata, Umno sengaja membangkitkan isu lama yang sudah tidak menjadi masalah tetapi sengaja meresahkan masyarakat umum.
Katanya, masyarakat  Islam di negeri ini telah dapat menerima keadaan dua solat Jumaat dalam satu kariah.
“Umno sengaja membangkitkan isu ini untuk menghadapi pilihan raya sedangkan isu ini telah lama selesai dan tidak menjadi masalah dalam masyarakat setempat,” jelasnya.
Malah, katanya hampir kesemua masjid yang digunakan bagi solat Jumaat itu bukan terletak berdekatan dengan masjid kerajaan.
Menurutnya, masjid di Kampung Padang Landak yang dijadikan isu oleh Umno terletak lebih satu kilometer dengan masjid kerajaan di Kampung Lak Lok.
Manakala, Yang Dipertua PAS Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad mendakwa pemimpin Umno Terengganu memalu gendang berirama songsang bagi mengheret rakyat.
Katanya, isu lapuk berkait dengan solat Jumaat berasingan dalam satu kariah tidak timbul lagi kerana telah selesai ketika pemerintahan PAS sebelum ini.
“Kita hairan di saat masyarakat umat Islam berada dalam keadaan tenang dan harmoni untuk menghadapi pilihan raya, tiba-tiba Umno Terengganu kembali memalu gendang berirama songsang.
“Mereka cuba mengheret rakyat berbicara sesuatu yang terpisah dari realiti sebenar kerana isu solat Jumaat itu tidak timbul lagi di negeri ini,” ujarnya.
Menurutnya, Umno sengaja menimbulkan isu sembahyang berasingan dalam satu kariah dan solat dua imam sepertimana yang dilaporkan oleh sebuah akhbar harian pada 19 November lalu.
Katanya, laporan tersebut jelas berniat jahat apabila memaparkan masjid di Kampung Padang Landak sebagai lokasi penyokong PAS melakukan solat Jumaat berasingan.
Sedangkan, kata beliau itulah satu-satunya masjid di Kampung Padang Landak yang mengadakan solat Jumaat dalam kariah tersebut.
“Umno tidak wajar memberi gambaran yang salah apa lagi berbohong dalam melaporkan sesuatu hingga meresahkan masyarakat umum.
“Kita bimbang kebiasaan ini akan menjadi ‘style’ bicara mereka secara bersahaja sehingga tidak dapat membezakan maklumat yang benar kepada Tuanku Sultan Terengganu,” ujarnya.

Adam Adli tekad perjuang kebebasan mahasiswa

Adam Adli tekad perjuang kebebasan mahasiswa | Print |
Aziz Muda   
KUALA LUMPUR, 24 Dis: Walaupun ditekan hebat termasuk menerima ancaman ugutan bunuh, pelajar Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Adam Adli Abdul Halim, tetap bertekad untuk meneruskan perjuangannya menuntut kebebasan mahasiswa di negara ini.

Walaupun sedar jalan yang ditempuhinya itu amat rumit, tetapi beliau dan rakan-rakannya dari kalangan mahasiswa tetap akan meneruskan perjuangan mereka sehingga pihak Kerajaan BN sendiri sedar dengan kesilapannya selama ini.

Menurut Adam, Kerajaan BN perlu sedar para mahasiswa juga mempunyai hak untuk bersuara dan tidak selamanya boleh dikongkong dengan pelbagai sekatan termasuk menerusi Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) yang telah dilaksanakan sejak sekian lama di negara ini.

"Kini para mahasiswa sudah tidak lagi boleh bersabar dengan kongkongan kerajaan terhadap kami. Kerajaan yang memerintah tidak selamanya boleh bertindak sesuka hati terhadap mahasiswa dan menzalimi rakyatnya," katanya.

Bercakap kepada Harakahdaily pada satu pertemuan eksklusif sekitar 10 minit selepas memberikan keterangan kepada pihak polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Dang Wangi, di sini, semalam, (gambar) beliau mengakui tindakannya menurunkan bendera Perdana Menteri pada 17 Disember lalu dilakukan dengan penuh kesedaran dan mempunyai mesej jelas mengenai perkara itu.

"Saya tidak bermaksud untuk menghina. Tetapi itulah mesej kami. Sebab itulah bendera itu pun hanya saya turunkan sekejap sahaja, tak sampai pun lima minit dan kemudian saya naikkan kembali dengan baik," jelasnya.

Semua pihak, tegas beliau, perlu faham perkara itu dan tidak sewajarnya memutarbelitkan kenyataan serta membuat fitnah kepada beliau dan rakan-rakannya yang lain.

"Kalau saya dan rakan-rakan saya tak naikkan kembali bendera Perdana Menteri yang kami turunkan itu, lainlah pula ceritanya," ujarnya.

Namun, dengan hanya menurunkan bendera tersebut dalam tempoh kurang lima minit, beliau berharap agar mesej protes mahasiswa berhubung perkara itu dapat dibaca dengan baik oleh pihak kerajaan.

Beliau bagaimanapun amat kesal kerana tindakan mereka itu telah dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu sehingga mengaitkannya dengan jenayah, walaupun ia jelas bukan jenayah.

Malah tindakan tersebut selaras dengan amalan demokrasi di negara ini yang memberikan kebebasan berhimpun secara aman dan bersuara kepada rakyat, termasuk di kalangan mahasiswa, seperti yang termaktub di dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Di mana-mana negara sekalipun yang mengamalkan demokrasi di dunia ini, terutama di negara-negara maju, suara mahasiswa tidak akan disekat.

Katanya, malah suara mahasiswa diakui mempunyai kuasa tersendiri dan perlu didengari serta dihormati kerana para mahasiswa juga mempunyai hak untuk menyatakan pandangannya bagi kepentingan agama dan tanah air.

"Malaysia yang berada di bawah pemerintahan BN dan sedang menuju ke arah negara maju, bagaimanapun menafikan suara dan hak mahasiswa. Inilah yang amat dikesali oleh kami," ujarnya.

Beliau berharap agar siri-siri protes yang dilancarkan oleh beliau dan rakan-rakannya yang bergabung dalam Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan lain-lain badan akan mengubah dasar kerajaan terhadap mahasiswa.

"Pada kami, Auku bukan perlu dipinda, tetapi dimansuhkan. Jika kerajaan tetap enggan mendengar desakan kami, kami tidak akan berdiam diri, malah terus berjuang dan mengadakan pelbagai kempen mengenainya, selaras dengan hak kami dan rakyat negara ini seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan," katanya.

Para mahasiswa yang berada dalam kumpulan Pro Mahasiswa, tambahnya, berbeza dengan mereka yang berada dalam kumpulan Pro Aspirasi, malah mereka tidak akan berganjak dari matlamat perjuangan mereka walaupun akan digula-gulakan oleh para pemimpin Umno atau BN.

Beliau bersyukur kepada Allah kerana tidak berkeseorangan dalam perjuangan itu, malah disokong penuh oleh rakan-rakan pelajarnya yang lain serta lain-lain pihak yang sedar dengan hak masing-masing di tanah air sendiri.

"Kita rakyat Malaysia atau warganegara Malaysia mempunyai hak ke atas negara ini dan berhak bersuara demi kepentingan agama dan negara. Janganlah lagi hak kami itu dinafikan oleh kerajaan yang memerintah sekarang," tegas beliau. 

Sebelum itu, beliau dengan ditemani rakan-rakannya dalam SMM telah memberikan keterangan selama sejam bermula jam 11.00 pagi kepada pihak polis, berhubung laporan polis yang dibuatnya di Balai Polis Tun H.S Lee, Isnin lalu membabitkan kes ugutan bunuh terhadapnya.

Sebaik selesai memberikan keterangan kepada ASP Anan, beliau terus diserbu oleh pihak media termasuk dari dalam dan luar negara, bagi mengetahui perkembangan terkini mengenainya untuk dikongsi bersama segenap anggota masyarakat terutama di negara ini.

Walaupun banyak syarikat penerbitan yang ingin mengadakan temubual eksklusif dengannya terutama pada hari itu, tidak kesemuanya dapat dipenuhi kerana kesuntukan masa, lebih-lebih lagi setelah azan dari masjid-masjid hampir berkemundang bagi memanggil umat Islam menunaikan solat Jumaat.

"Masa dah terlalu suntuk untuk solat Jumaat. Kalau Harakahdaily ingin mengadakan juga temubual eksklusif hari ini, hanya sempat sekitar 10 minit sahaja," jelasnya sambil menyeka peluh yang memercik di dahi kerana cuaca panas dan kesibukannya melayani pelbagai pertanyaan para wartawan yang telah menunggunya hampir dua jam di IPD Polis Dang Wangi semalam.

Selamatkan Felda, PM perlu bertanggungjawab



Eikhwan Ali   
Memikirkan nasib 112,635 orang peneroka seluruh negara di 317 Skim Penempatan Felda dengan keluasan 905,448 hektar, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) mendesak supaya YAB Perdana Menteri membatalkan penyenaraian Felda Global Ventures Holding Snd. Bhd. (FGVH) di Bursa Malaysia.

GAMIS berpendirian tindakan tersebut adalah suatu tindakan yang sangat merugikan. Hal ini bakal berlaku melalui perjanjian pajakan 99 tahun antara Felda Holding Berhad (FHB) dan FGVHB kerana FHB telah bersedia untuk memajak tanahnya seluas 360,000 hektar kepada FGVHB sedangkan syarikat itu tiada hak ke atas tanah tersebut dan 500,000 hektar tanah yang dimiliki oleh peneroka.

Dalam rekod, FGVH hanya memiliki 42 ribu hektar tanah dan penyenaraian ini akan menyaksikan penyusutan saham Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad (KPF) dalam anak-anak syarikat FHB susut kepada 30% sahaja dan baki 70% lagi akan didagangkan kepada pelabur luar. Di samping itu, ahli-ahli KPF bakal kehilangan majoriti 55% dalam saham FHB selain pendapatan RM 2 billion FELDA bakal menjunam kepada RM508 juta.

GAMIS membantah penyenaraian tersebut kerana :
FGVH yang mempunyai rekod prestasi buruk (mengalami kerugian dan menanggung hutang) sudah pasti tidak mampu memberikan pulangan yang lebih baik kepada peneroka.

Penyenaraian tersebut yang akan membuka ruang kepada orang luar (bukan bumiputera) menjadi pemegang saham akan menjejaskan kepentingan hak Melayu ke atas Felda.

GAMIS juga berpandangan, penyenaraian di Bursa Malaysia yang kononya bertujuan untuk menarik pelabur bagi menambah modal adalah tidak tepat pada keadaan ekonomi sekarang yang berkemungkinan besar akan mengorbankan kepentingan peneroka. ‘Durian runtuh’ yang ditawarkan kepada peneroka adalah keuntungan yang bersifat jangka pendek. Isu jangka panjang yang lebih besar ialah kemampuan FGVH untuk bersaing dengan syarikat gergasi yang lebih senior di peringkat global.

Berkenaan dengan isu yang melanda KPF pula, GAMIS menuntut daripada Perdana Menteri atau Menteri Di Jabatan Perdana Menteri beberapa penjelasan berikut :

KENAPA Tan Sri Isa Samad yang bukan peneroka FELDA atau keluarga peneroka atau kakitangan FELDA dan juga belum genap dua (2) tahun menjadi ahli KPF dilantik sebagi Pengerusi KPF sedangkan ia bertentangan dengan Undang-Undang Kecil KPF dan Seksyen 43 Akta Koperasi 1993.

KENAPA Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah FELDA untuk membincangkan perlantikan Tan Sri Isa Samad diadakan pada (25 Ogos 2011) ketika ketiadaan Dato’ Zulkifli Abd. Wahab yang sedang menunaikan umrah.

KENAPA Dato’ Zulkifli Abd. Wahab disingkirkan sebagai Pengerusi KPF sedangkan beliau dilantik secara sah melalui Mesyuarat Agung KPF 2011.

KENAPA Dato’ Zulkifli Abd. Wahab diarah bercuti dalam tempoh 6 hingga 9 bulan bermula 25 November 2011 yang lalu.

KENAPA Perdana Menteri campur tangan dalam hal ehwal dalam KPF yang mempunyai undang-undangnya sendiri dan tertakluk kepada Akta Koperasi dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

Persoalan-persoalan di atas memperlihatkan seolah-olah terdapat konspirasi tertentu yang dirancang oleh pihak-pihak tertentu. Keadaan ini  sekiranya tiada penjelasan dan tidak diselesaikan segera akan menyebabkan keadaan bertambah buruk jika penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia diteruskan.

GAMIS menuntut supaya :

Mahkamah menghalang Mesyuarat Agong Khas KPF yang dijadualkan akan berlangsung pada 5 Januari 2012 daripada diadakan bagi menyekat pelupusan pegangan saham ahli KPF kepada FGVH dilakukan.

YAB Perdana Menteri membatalkan penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia.

Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menentukan status sebenar Tan Sri Isa Samad dalam KPF.

Sekiranya tiada penjelasan diberikan dan tuntutan tidak dilayan, GAMIS akan menggerakan mahasiswa, khususnya dikalangan anak-anak FELDA, untuk bertindak sebagai third force dengan menterjemahkan bantahan dan kekecewaan mereka terhadap kerajaan melalui kertas undi dalam Piliharaya Umum yang akan datang.

Eikhwan Ali
Naib Presiden GAMIS
Bahagian Koporat dan Antarabangsa

Pemuda PAS ikrar bela mahasiswa

Pemuda PAS ikrar bela mahasiswa | Print |
Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 24 Dis: Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia memuji keberanian para mahasiswa baru-baru ini yang menurunkan satu kain bercetak wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di hadapan ibu pejabat Umno sebagai simbolik tuntutan mereka terhadap kempen kebebasan akademik yang diperjuangkan selama ini.
Pengarahnya, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi  berkata, tindakan para mahasiswa tersebut sebenarnya rentetan daripada rasa mual mereka terhadap dunia akademik di Malaysia yang semakin lesu dan terkongkong oleh sikap Kerajaan Umno Barisan Nasional yang terus menekan para ahli akademik yang berani bersuara demi kebenaran.
Katanya, Juham melihat tindakan para mahasiswa tersebut adalah tindakan yang berani dan merupakan suatu manifestasi kepada hak dan kebebasan mereka untuk bersuara sepertimana yang dibenarkan oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Oleh itu, jelasnya mahasiswa harus menjadikan perkara itu sebagai suatu momentum untuk terus maju ke hadapan tanpa gusar dan takut dengan ugutan-ugutan bacul dari Umno Barisan Nasional dan konco-konconya.
Malah, ujarnya Juham melihat perarakan kumpulan pelajar pro-Aspirasi yang menjadi budak-budak suruhan Umno berdemonstrasi di hadapan bangunan kementerian pengajian tinggi baru-baru yang menuntut Datuk Saifuddin Abdullah supaya meletakkan jawatan kerana didakwa "terlalu mesra" dengan pelajar pro-Mahasiswa, tidak lain dan tidak bukan adalah tindakan terdesak Kerajaan Umno Barisan Nasional yang malu apabila kain bercetak wajah Presiden mereka diturunkan.
“Sekiranya mereka benar-benar berani dan yakin dengan pendirian mereka, kenapa kumpulan pelajar pro-Aspirasi tersebut enggan untuk berjumpa Datuk Saifuddin Abdullah walaupun telah diminta berbuat demikian,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Juham selanjutnya, kata beliau mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang telah menyerahkan notis kepada aktivis pelajar Adam Adli Abdul Halim supaya menghadiri sesi pendengaran tatatertib pada 9 Januari berhubung insiden menurunkan bendera tersebut.
Tegasnya, Juham melihat tindakan UPSI tersebut seumpama menghina keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Seksyen 15(5) Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Justeru, tambahnya UPSI dan lain-lain institut pengajian tinggi seharusnya mengambil sikap menghormati keputusan mahkamah tersebut yang mengiktiraf hak kebebasan bersuara mahasiswa.
Tambahnya lagi, tindakan UPSI tersebut jelas mencerminkan tindakan terdesak Umno Barisan Nasional bagi menakut-nakutkan mahasiswa kerana Umno sedar bahawa mahasiswa merupakan kuasa perubah yang besar dan mampu menggulingkan mereka dalam Pilihanraya Umum ke-13 nanti.
Juham, jelasnya dari dulu, kini dan selamanya tanpa jemu sentiasa berpegang dan berpegang teguh kepada kebebasan untuk bersuara di mana ia adalah suatu hak asasi kepada semua rakyat Malaysia dan ia jelas termaktub di dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, namun dinafikan oleh Kerajaan Umno Barisan Nasional.
“Justeru, Juham yang terdiri daripada barisan peguam-peguam di seluruh Malaysia berikrar akan membela dan menyokong para mahasiwa ini sekiranya mereka didakwa di mahkamah,” katanya.
Malah, ujarnya Juham bersedia untuk memberikan khidmat nasihat guaman percuma kepada para mahasiswa sekiranya mereka dipanggil untuk menghadiri tindakan tatatertib sebagai bukti sokongan padu pihaknya kepada gerakan mahasiswa yang mendokong kebenaran dan keadilan.
“Akhirnya, Juham mengucapkan syabas kepada seluruh mahasiswa atas keberanian mereka dan Juham menyeru mahasiswa sekalian supaya terus maju ke hadapan tanpa rasa gentar dan takut dalam menyuarakan kebenaran yang merupakan hak asasi anda semua dan dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tertinggi negara,” tegasnya.

Saya tarik balik kritikan negara kebajikan-Hasan Ali

KUALA LUMPUR, 24 Dis: Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali hari ini mengakui kesilapannya mengkritik pendekatan Negara Berkebajikan yang mahu dibawa PAS seperti diputuskan dalam Muktamar tahunan parti itu Jun lalu.

Ekoran itu juga, beliau yang juga exco kerajaan Selangor pada satu sidang media di kediamannya hari ini menarik balik kritikannya itu dan memohon maaf kepada pimpinan dan ahli parti.

“Sebagai ahli PAS dan ahli jawatankuasa kerja PAS pusat, saya mengakui terdapat unsur keterlanjuran saya waktu membuat ulasan mengenai perkara itu. Dengan ini saya menarik balik komen mengenai Negara Berkebajikan tersebut.

“Saya memohon maaf kepada saf kepimpinan dan ahli-ahli parti terhadap keterlanjuran saya itu,” katanya pada sidang media di kediamannya di sini.

Sebelum ini pada satu sidang medianya juga, beliau mendakwa perjuangan PAS sudah menyimpang apabila mengangkat Negara Berkebajikan berbanding Negara Islam sejak sekian lama.

Sehubungan itu beliau menolak konsep Negara Berkebajikan dan mendesak parti itu kembali kepada matlamat asal menubuhkan sebuah negara Islam.

Mengakui ulasannya sebelum ini sebagai terlanjur kata, Hassan hari ini juga menyatakan pendirian bahawa beliau bersetuju dengan konsep Negara Berkebajikan yang diperjuang PAS kerana sebahagian dari initipati dan matlamat ke arah menubuhkan sebuah negara Islam.

“Saya sebagai ahli dan pimpinan, saya menyetujui apa yang dikemukakan dan pada masa sama saya melihat pengisian Negara Berkebajikan sama seperti negara Islam yang dikemukakan parti sebelum ini.

“Kemungkinan besar sama apa yang ada dalam konteks negara Islam dengan Negara Berkebajikan,” katanya.

Sementara itu, Hasan juga berkata beliau bersedia bertemu kepimpinan parti bila-bila masa bagi merungkai permasalahan yang timbul yang turut mengaitkan dirinya.

Mahkamah hukum Khir Toyo dipenjara 12 bulan

Harakahdaily

SHAH ALAM, 23 Dis: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memutuskan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo bersalah atas tuduhan rasuah empat tahun lalu.

Dr Mohamad Khir, 46, dituduh mendapatkan untuk diri dan isterinya, Zahrah Kechik, 46, dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L di sini, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarahnya, Shamsuddin Hayroni.

Hartanah yang terletak di Seksyen 7 di sini itu diperoleh dengan harga RM3.5 juta, sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Dis 2004 pada harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Dr Mohamad Khir, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah ke atas kes tertuduh.

Ekoran itu, mahkamah menjatuhkan hukuman 12 bulan penjara berkuatkuasa hari ini, serta memerintahkan harta terbabit dilucuthak kepada kerajaan Malaysia.