GENTING HIGHLANDS 1 Jan. - Lebih 80,000 pengunjung membanjiri Resort World Genting sempena sambutan ambang Tahun Baru 2012 yang dianjurkan resort berkenaan, di sini malam tadi.
Sambutan yang dinamakan Coolest Countdown Celebration itu melibatkan tiga acara berbeza di puncak pusat peranginan tersebut yang berbeza daripada tahun-tahun lalu.
Acara-acara yang dianjurkan adalah konsert yang diadakan di Plaza First World menampilkan persembahan bintang Astro All Stars Quest 2011 dan konsert di Arena of Stars yang menampilkan persembahan bintang Astro Clasic Golden Melody.
Satu lagi acara adalah persembahan tarian, badut, nyanyian dan persembahan bunga api di Dataran Merdeka, Taman Tema Luar resort tersebut.
Bagaimanapun, pertunjukan bunga api yang dijadualkan tepat pukul 12 tengah malam dibatalkan setelah ditunda 30 minit gara-gara cuaca berkabus dan berangin.
Namun, itu tidak merencatkan keceriaan pengunjung menyambut kehadiran tahun baru apabila mereka tetap bersemangat dan bersama menghitung detik tibanya tahun baru sebelum bersama melaungkan 'Selamat Tahun Baru' dengan penuh semangat.
Bagi menghangatkan lagi suasana, pengunjung terus dihiburkan dengan persembahan tarian dan nyanyian sehingga hampir pukul 1 pagi.
Rata-rata pengunjung tidak segan untuk turut menggoyangkan badan mengikut gerak tari kumpulan penghibur di atas pentas dan menjadikan detik awal 2012 di puncak Genting Highlands terus gamat dengan telatah serta sorakan mereka.
No comments:
Post a Comment
Pengendali Klikmassa.blogspot.com tidak akan sesekali bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang ditulis oleh pengujung laman sosial ini. Ia adalah pandangan dan pendapat peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian pengadali klikmassa.blogspot.com