AUKU: Orang ramai dipelawa beri cadangan
IPOH 24 Dis. - Orang ramai termasuk golongan mahasiswa kini boleh menyalurkan sebarang maklum balas berhubung pindaan Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) menerusi laman sosial, Facebook.Pengerusi Jawatankuasa Pindaan AUKU, Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, semua maklum balas atau cadangan yang disalurkan akan dikemukakan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) awal Februari tahun depan.
Maklum balas atau cadangan berhubung perkara itu boleh disalurkan melalui alamat akaun Facebook, http://www.facebook.com/aukuwg.
Menurut beliau, maklum balas daripada warga universiti juga akan diambil kira menerusi borang soal selidik di laman web KPT.
"Kita amat mengalu-alukan maklum balas daripada orang ramai khususnya melibatkan persoalan sama ada wajar mahasiswa dibenarkan bergiat aktif dalam politik kepartian termasuk di kampus.
"Ini termasuklah menganjurkan ceramah politik, merekrut pelajar sebagai ahli politik, mengedar risalah, poster serta bahan-bahan bacaan termasuk apa jua aktiviti yang berkaitan dengan parti politik," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, bagi memperluas ruang lingkup maklum balas tersebut, pendengaran awam juga akan dianjurkan di tiga lokasi di negara ini iaitu di Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu.
Nik Ahmad Kamal berkata, sebarang pandangan dan cadangan juga boleh disampaikan menerusi e-mel rasmi jawatankuasa tersebut iaitu aukuwg@mohe.gov.my.
No comments:
Post a Comment
Pengendali Klikmassa.blogspot.com tidak akan sesekali bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang ditulis oleh pengujung laman sosial ini. Ia adalah pandangan dan pendapat peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian pengadali klikmassa.blogspot.com