Ringgit mungkin naik berbanding dolar AS minggu depan 
2012/01/07
KUALA LUMPUR: Ringgit berkemungkinan mengukuh berbanding dolar Amerika 
Syarikat (AS) minggu depan kerana data-data ekonomi yang lebih teguh 
dari AS boleh merangsang keyakinan terhadap pasaran-pasaran ekuiti dan 
menambah selera bagi pelaburan yang lebih berisiko serta mata wang Asia,
 kata peniaga.
Menurut perangkaan terbaru, sektor swasta di AS meningkatkan 
pengambilan pekerja pada Disember ke paras tertinggi bagi tahun lepas 
manakala tuntutan-tuntutan baharu bagi faedah pengangguran susut dalam 
bulan yang sama. 
Satu kaji selidik oleh Reuters mendapati pelabur-pelabur menjadi yakin terhadap dolar Singapura dan ringgit Malaysia. 
"Mata wang Asia akan mengatasi prestasi (mata wang lain) sekali gus 
mencerminkan daya tahan ekonomi Asia dengan disokong oleh penggunaan 
domestik dan peningkatan dana asing yang mengalir masuk ke rantau ini," 
kata seorang peniaga. 
Dalam minggu ini, ringgit dan dolar Singapura meningkat ke paras 
tertinggi dalam sejarah masing-masing berbanding dolar AS  ekoran 
kemasukan semakin banyak dana global ke rantau ini, meskipun kenaikan 
masing-masing agak terhad disebabkan oleh krisis hutang zon euro yang 
masih belum selesai.  
Ringgit juga mengukuh dengan ketara berbanding euro sejajar dengan 
kedudukan mata wang euro yang semakin lemah berbanding mata wang utama 
lain, akibat krisis hutang rantau ini yang belum juga selesai. 
Euro jatuh ke paras terendah dalam tempoh 16 bulan berbanding dolar AS Jumaat minggu ini.
Sementara itu, ringgit susut pada Jumaat, apabila pelabur mengambil 
untung setelah sentimen menjadi berhati-hati berikutan krisis hutang zon
 euro itu.
Secara perbandingan Jumaat ke Jumaat, ringgit naik mendadak 
berbanding dolar AS kepada 3.1490/1520 daripada 3.1670/1700 Jumaat lepas
 dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 2.4335/4368 daripada 
2.4350/4373.
Bagaimanapun, unit tempatan itu turun berbanding yen kepada 4.0817/0871 daripada 4.0796/0845 minggu lepas.
Ia juga susut berbanding pound sterling kepada 4.8838/8897 daripada 
4.8807/8862 Jumaat lepas tetapi mengukuh berbanding euro kepada 
4.0326/0377 daripada 4.0911/0960.  - BERNAMA